Total Pageviews

Tuesday, November 30, 2010

PENGENALAN


Pusat Jagaan Nuril Anwar adalah sebuah pusat kebajikan yang menyediakan penempatan dan keperluan asas bagi golongan anak yatim dan asnaf zakat. Pusat ini ditubuhkan atas dasar kesedaran dan keprihatinan terhadap nasib mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan pembelaan.
Pusat jagaan ini mula beroperasi sejak awal tahun 2010. Telah didaftarkan pada 26 Julai 2010 dengan beralamat di No.588, Jalan S2 K12, Taman Vision Homes, Seremban 2, 70300 Seremban, Negeri Sembilan D.K.
Alhamdulillah, bermula September 2010, Pusat Jagaan Nuril Anwar telah berpindah ke 4 buah rumah yang beralamat di No. 655, 656, 657 & 658,  Jalan S2 K18, Taman Vision Homes, Seremban 2, 70300 Seremban, N.Sembilan. Rumah semi-D 2 tingkat ini telah diwakafkan oleh seorang hamba Allah untuk dimanfaatkan sebagai rumah kebajikan.
Kini, Pusat Jagaan Nuril Anwar telah menempatkan seramai lebih 50 orang penghuni yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin, remaja bermasalah dan mualaf. Pusat jagaan ini turut menaungi golongan ibu tunggal dan warga emas.
Pihak pusat jagaan menanggung segala keperluan kebajikan semua penghuni di sini seperti keperluan makan minum, pakaian, duit belanja serta keperluan harian mereka. Justeru itu sokongan dan bantuan daripada para dermawan dan orang ramai sangat dialu-alukan untuk memenuhi keperluan di sini.

    OBJEKTIF

    Masyarakat yang aman makmur mendapat keredhaan Allah adalah impian kita bersama.
    Ini hanya akan terjadi apabila setiap anggota masyarakat saling berkasihsayang dan bertolong bantu di dalam kehidupan. Masyarakat tidak mementingkan diri malah sentiasa mencari peluang untuk saling bekerjasama & bertolong bantu menuju ketaqwaan.
    Moga dengan itu mereka dapat berperanan sebagai hamba & khalifah Tuhan dengan sebaik-baiknya bumi ini. Moga dengan rahmat Tuhan kita semua terlepas daripada sengsara di Akhirat.
    Penubuhan pusat jagaan ini tidak bermatlamatkan komersil tetapi lebih mengutamakan khidmat masyarakat. Antara objektifnya ialah:
    • Menyediakan asrama sebagai tempat penginapan bagi membela golongan anak yatim dan fakir miskin agar mendapat  penjagaan yang sempurna
    • Menekankan aspek keagamaan dan moral agar anak-anak di pusat jagaan ini mendapat didikan agama yang sempurna
    • Memberi khidmat kaunseling dan motivasi untuk semua golongan seperti remaja bermasalah yang ingin membaiki diri, masalah rumahtangga dan lain-lain
    • Mengadakan kelas pengajian Al Quran untuk kanak-kanak dan remaja
    • Membantu pihak kerajaan mengatasi masalah sosial remaja.

    AKTIVITI YANG DIJALANKAN

    • Menyediakan kelas agama bagi menyempurnakan tuntutan ilmu Fardhu Ain  anak-anak di pusat jagaan ini
    • Menyediakan beberapa bidang projek sebagai latihan kemahiran untuk anak-anak yang tidak berminat untuk belajar secara formal. Di antaranya ialah:
      • Bakeri
      • Home Industri
      • Projek Bawang Goreng
      • Pertukangan
      • Pemasaran
      • Katering


    Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah:

    • Mengadakan kelas pengajian Al Quran untuk kanak-kanak dan remaja
    • Memberi khidmat kaunseling dan motivasi untuk semua peringkat umur, tanpa mengira bangsa atau agama
    • Menerima tempahan produk home industri yang diusahakan oleh remaja-remaja di PJNA
    • Menyediakan khidmat rawatan untuk pelbagai jenis penyakit fizikal dan rohani (Pusat Rawatan Alternatif Nuril Anwar)